Tuesday, November 23, 2010

penjual akhbar harian

penghujung september... jalan utama di taman perumahan itu sibuk seperti biasa di waktu pagi. kenderaan berlumba-lumba untuk ke destinasi masing-masing yang rata-ratanya menuju ke tempat kerja, sekolah, tadika & taska. di tepi jalan, kelihatan seorang lelaki duduk di kaki lima sambil membaca akhbar.

"apa yang dibuatnya kat situ? baca suratkhabar di tepi jalan yang sibuk.." desis hati saya.

pemandangan sebegitu agak pelik kerana biasanya tempat tu bukanlah tempat menunggu. apatah lagi orang buat port menjual nasi lemak. sesaat melepasi lelaki itu, barulah terperasan ada susunan suratkhabar di sisinya. rupanya dia menjual suratkhabar. keadaan ni agak biasa kan? terutamanya di kawasan perumahan di bandar, yang mana penduduknya sentiasa mengejar masa & ingin cepat pada minggu bekerja. spot terbaik menjual akhbar ialah jalan-jalan utama menuju keluar dari taman perumahan.

dulunya, bagi penduduk-penduduk taman putra perdana, bandar nusaputra & amanputra hanya bergantung pada satu jalan keluar, iaitu terus ke LDP highway. sekarang sudah ada satu lagi pilihan bila interchange baru yang bakal dibuka, susur keluar ke elite highway sekaligus menghubungkan selangor science park 2 (ssp2) & cyberjaya. ia belum dibuka secara rasmi kepada pengguna tetapi sudah boleh dilalui sementara.

berbalik kepada si penjual akhbar tadi, lokasi yang dipilih untuk menjual akhbar memanglah tepat. sementelah susur keluar ke LDP sudah pun ada sekumpulan penjual akhbar yang membina tapak. si penjual ni tadi merupakan perintis pula di kawasan baru ni. melihatkan dia menjual tanpa adanya meja, kerusi & payung yang merupakan asas kepada tapak gerai, saya jangkakan ini merupakan perniagaannya yang pertama.

walaupun hanya penjual akhbar di tepi jalan, tak kira apapun bangsanya, saya kagum dengan semangatnya. bermula 'dari bawah', tanpa peralatan asas melainkan timbunan akhbar di atas tanah kaki lima. tanpa apa-apa tanda 'promosi' yang menyatakan dari jauh bahawa dia sedang menjual akhbar, dia cuma menggayakan aksi seolah-olah sedang membaca akhbar (mungkin juga dia sendiri sedang membaca). sebulan berikutnya, dia sudah memiliki payung. sudah boleh menggantung beberapa contoh akhbar harian yang dijualnya. bulan seterusnya dia sudah memiliki meja untuk diletakkan timbunan-timbunan akhbar untuk dijual. hari-hari seterusnya dia sudah ada pelanggan tetap. berderet-deret kenderaan berhenti untuk membeli, malah ada yang melanggan untuk dihantar terus ke rumah naskah mereka.

saya kagum dengan apa yang saya lihat walaupun ia berlaku hanya di tepi jalan. saya belajar sesuatu yang positif.