Monday, November 29, 2010

kisah-kisah unik

saya ingin kongsikan 2 cerita unik ni bersama kalian. cerita ni saya anggap unik kerana merasakan mereka-mereka dalam kisah ni sangat istimewa kerana dikurniakan Allah satu peluang/anugerah yang tak disangkakan. sebelum saya ceritakannya lebih lanjut, ingin saya tekankan bahawa saya hanya ceritakan secara umum sahaja kerana mungkin saya tak tahu kisah lengkapnya secara 100% tetapi melihatnya secara jauh & berdasarkan atas apa sahaja yang pernah diceritakan kepada saya. nama sebenar mereka yang terlibat adalah dirahsiakan (no worries).

kisah anak

kenalan saya ni telah 5 tahun mendirikan rumahtangga. sehingga itu, mereka suami isteri masih belum dikurniakan cahayamata. melihat pasangan lain yang bahagia & meriah dikelilingi anak-anak comel, hati siapa tak terusik? pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk bertemu pakar kesuburan & berdoa tanpa henti. usaha seterusnya mengambil anak angkat yang baru saja dilahirkan. kehadiran bayi perempuan itu dalam hidup mereka sangat membahagiakan & menceriakan. dengan takdir Allah, kebahagiaan mereka digandakan lagi dengan berita kehamilan sahabat saya tu. saya turut berkongsi kegembiraan itu. siapa sangka? selepas saja mengambil anak angkat, Allah kurniakan jua mereka zuriat dari benih sendiri? inilah antara hikmah menunggu sekian lama dengan penuh kesabaran. hanya Allah saja yang tahu setiap sesuatu yang berlaku & kenapa baru sekarang Dia kurniakan anugerah-anugerah istimewa ini dalam hidup mereka. kini hidup mereka suami-isteri bahagia di samping sepasang anak yang comel.

kisah jodoh

seorang sahabat, laily (bukan nama sebenar) baru sahaja beberapa bulan bertunang dengan lelaki pilihannya atas dasar saling menyayangi. mengharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan pula di tengahari. pihak lelaki berubah hati, lalu nekad memutuskan pertunangan mereka. laily sunguh kecewa dengan apa yang berlaku. dugaannya teramat berat kerana bekas tunang 'membuang'nya seolah-olah tidak pernah ada kenangan manis antara mereka. kata orang tua-tua, jika mahukan anak orang, risiklah, pinanglah secara baik. jika ingin memutuskan hubungan pula, buatlah secara baik sepertimana kamu meminta gadis itu dari orang tuanya. tetapi itu tidak berlaku dalam hubungan laily & bekas tunang. si dia memberitahu niat memutuskan hanya menerusi sms & email. paling ada pun, kedua orang tuanya berkunjung ke rumah orang tua laily. berat mata memandang, berat lagi bahu laily menggalas kedukaannya akibat putus kasih. nampaknya, tarikh kahwin yang telah ditetapkan di awal pertunangan, iaitu 11 dec 2010 hanya akan tinggal sejarah pahit.

beberapa bulan seterusnya, melalui hari-hari berlalu tanpa insan tersayang.. laily bertemu dengan seorang sahabat lelaki, zaman (bukan nama sebenar) yang sedang dalam gundah-gulana kerana tunangnya berubah hati dek kerana bertemu semula dengan bekas kekasih. atas dasar persahabatan & pengalaman pahit yang pernah ditempuh dulu, laily cuba memberi kata-kata semangat kepada zaman supaya berusaha pulihkan kembali hubungan mereka. tak sampai hati melihat pertunangan mereka putus seperti yang dia lalui.

diringkaskan cerita (macam dah panjang pun), hubungan zaman & tunangnya memang tak dapat diselamatkan lagi. sehari selepas putus tunang, dia melamar laily. dengan secara bertertib, zaman datang dengan kedua ibu bapanya bertemu keluarga laily. surprise??! memang pelbagai persoalan & cakap-cakap sahabat di keliling tentang keputusan drastik ni. yelah, siapa pun akan berkata, ikhlas ke si zaman ni mahukan laily sebagai suri hidupnya? atau sekadar melepaskan perasaan geram pada bekas tunang? tak berfikir panjangkah dia? atau betulkah sayang pada si laily atau simpati? atau.. bermacam-macam lagilah persoalan.

apa-apapun semua terserah pada empunya diri. mungkin masing-masing sendiri telah merasakan dialah pasangan mereka yang terbaik, yang telah Tuhan kurniakan di depan mata. mungkin benar, ini jodoh mereka yang telah ditetapkan oleh-Nya. awal november saat pertemuan kedua belah pihak, tarikh nikah terus ditetapkan pada hujung bulan yang sama. walaupun terasa masa yang ada sangatlah singkat untuk urusan pernikahan, sementelah majlis nikahnya akan dilakukan di kuala lumpur, bukan di kampung orang tua laily, alhamdulillah.. kesemua urusan & proses mereka tidak melalui jalan yang berliku. seperti iklan telefon di tv tu, memandu di jalan yang bengkok diluruskan, melalui jalan yang panas, dipayungkan pula pokok-pokok nan rendang.. dengan izin-Nya laily & zaman telah selamat disatukan sebagai suami isteri yang sah. majlis resepsi kedua-dua belah pihak bakal diadakan mengikut tarikh awal yang telah ditetapkan ketika masing-masing bertunang dahulu. jadi, tiada pening-pening memikirkan tarikh baru, hanya teruskan saja majlis dengan pasangan yang berbeza (bertunang dengan orang lain, bernikah dengan orang lain).

syukurlah alhamdulillah.. itulah antara dugaan-dugaan hidup kita di dunia ini. ada masa kita diuji Allah, merasa hidup dalam lingkungan kesedihan, batin terseksa, jiwa merana.. akan tetapi, takkan selamanya kita berada di dalam 'kemendungan' itu. ganjaran kebaikan ke atas mereka-mereka yang tabah & sabar, insya-Allah akan Tuhan kurniakan juga.

1 bugs:

Shima said...

something to share .."believe in miracles but don't depend on them." :)